Tuesday, March 17, 2009

SENI TARI DAN ALAT MUZIK


3.1 PENGARUH DARI TAMADUN ISLAM

Antara kesenian masyarakat Melayu yang paling popular ialah seni tari dan alat muzik. Sebelum kedatangan Islam, muzik di Alam Melayu berunsurkan Hindu dan Buddha. Apabila Islam datang ke Nusantara, Islam memperkenalkan bentuk-bentuk nyanyian yang mengagungkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Contoh persembahan yang diadaptasikan ialah seperti hadrah, rodat, dabus dan dikir rebana. Kesemuanya dipersembahkan secara berkumpulan yang diiringi dengan rebana dan gong (Abdul Kadir 1988).

3.1.1CONTOH-CONTOH KESENIAN

1) Rodat

Rodat merupakan sejenis muzik yang berasal dari tanah Arab. Perkataan rodat dipercayai berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ulang-ulik, bersahut-sahutan kembali atau yang menunjukkan berbalas-balas. Rodat juga dipercayai lahir bersama-sama nazam, maulud, berzanji, zapin, hasiddah, nasyid dan berhadrah.

2) Hadrah

Hadrah berasal dari negara Timur Tengah. Hadrah merupakan paluan gendang bersertakan nyanyian yang memuji kemuliaan Tuhan, nasihat kepada saudara seagama, pujian untuk pengantin dan sebagainya

3) Ghazal

Muzik ghazal juga berasal dari Tanah Arab yang dikatakan berkembang pesat di sekitar abad ke-8. Perkataan ghazal dipinjam daripada perkataan Arab yang bermaksud puisi kasih. Dari tanah Arab, ghazal berkembang ke Parsi, Turki, India dan tempat-tempat lain termasuklah Malaysia. Ghazal menjadi Dendang Istana dan merupakan persembahan utama dalam majlis-majlis keramaian diraja atau di pesta-pesta negara.

4) Dabus

Muzik dabus hampir sama dengan hadrah dan rodat. Kumpulan muzik dabus berzikir memuji Tuhan dan Nabi Muhammad s.a.w dan juga mengiringi tarian biasa. Dabus berasal dari perkataan Bugis yang bermaksud batang besi yang tajam yang dipegang oleh penari semasa menari.

Jumlah ahli kumpulan muzik dabus terdiri di antara 15-18 orang yang dibahagikan kepada lapan orang penari dan 8-10 ahli muzik. Alat-alat muzik yang digunakan dalam muzik dabus ialah rebana dan sebiji gong. Bilangan rebana berbeza dari kumpulan ke kumpulan. Sebilangan kumpulan pula menambah alat serunai untuk mengiringi nyanyian syair pada permulaan persembahan.

5) Nobat

Muzik nobat juga berasal dari istana kerajaan negara-negara Islam di Timur Tengah. Muzik nobat dipercayai wujud semenjak pemerintahan raja Pasai iaitu Sultan Malik Ul-Salih atau dikenali juga sebagai Merah Silu.

Muzik nobat dari Pasai ini kemudiannya dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu dan memainkan peranan penting dalam istiadat di istana kerajaan Islam Melaka. Nobat kini menjadi muzik istiadat di istana-istana di Tanah Melayu dan masih di kekalkan hingga ke hari ini (Abdul Kadir 1988)


3.1.2 CONTOH-CONTOH ALAT MUZIK

  1. Serunai


Serunai dikatakan berasal dari Timur Tengah (Palestin) dalam kurun ke-2 Masihi dan dari sana tersebar ke sebelah timur. Serunai dikenali dengan pelbagai nama, sunray di Parsi, zurna di Turki, mizmar di negeri Arab, gaita di Algeria dan Morocco, zuqra di Tripolis dan Tunisia dan syrnaya di Syria. Alat muzik yang serupa dengan serunai Melayu dikenali sebagai senayi dalam bahasa Sanskrit dan ada kaitan dengan nagashuaram di India Selatan.

  1. Rebab

Alat muzik rebab dipercayai berasal dari daerah Kuristan, Iran Utara yang terdapat di seluruh Asia Tenggara. Rebab dikatakan wujud sebelum zaman Nabi Muhammad s.a.w dan dimainkan oleh Raja Sulaiman dan dilengkapkan lagi oleh Abdullah Faryabi . Rebab bertali dua didapati di Indonesia dan dikenali sebagai tro khmer (tro u) di Kampuchea. Alat yang sama dengan rebab di Thai ialah so sam sai yang bertali tiga dan dua variasinya ialah so u so duang dan yang tali penggeseknya melalui di antara tali alat ini.

  1. Gendang

Gendang yang berbentuk bujur, berbentuk tong, geduk, gedombak dan rebana. Gendang bujur menyerupai gendang mridanga dan gendang Mesir dikenali sebagai gendang di Indonesia dan Malaysia, klong khaek di negara Thai dan sam phu di Kampuchea.Gendang yang berbentuk tong dikatakan berasal dari Duhul, Parsi yang dikenali sebagai klong that di negara Thai dan skor thom di Kampuchea.

4) Gedombak

Gedombak pula didapati di negara Thai yang dikenali sebagai rammana dan di Kampuchea sebagai titik skor. Gedombak di Alam Melayu diperbuat daripada kayu sementara di Timur Tengah gedombak diperbuat daripada selut atau logam.

PENGARUH DARIPADA TAMADUN CINA

Kesenian masyarakat cina bermula pada abad ke- 19 dengan perhijrahan secara beramai-ramai orang Cina dari negara selatan China ke Tanah Melayu atau dikenali (Malaysia). Pada masa itu, pendatang Cina di bawa masuk ke tanah melayu untuk bekerja sebagai buruh di lombong biji timah, peniaga dan petani di tanah melayu. Menurut beberapa sumber dan rujukan, masyarakat Cina hanya berminat untuk bekerja bagi menampung kehidupan yang agak sukar pada masa itu. Penduduk pada masa itu tidak merancang untuk menetap secara tetap di Tanah Melayu atau memperkembangkan kebudayaan Cina bagi penduduk tempatan. Namun demikian, lama-kelamaan orang Cina akhirnya menyimpan hasrat untuk menetap tetap di Tanah Melayu sehingga masa pada kini dan seterrusnya memperkembangkan kebudayaan kaum Cina di Malaysia.

CONTOH-CONTOH TARIAN DARI TAMADUN CINA

1) Tarian Singa

tarian singa merupakan tarian yang popular dan sinonim dengan masyarakat cina di malaysia. Walaupun begitu, tarian singa bagi suku-suku kaum Cina mempunyai perbezaan antaranya jika dilihat pada tarian singa yang ada pada masyarakat Cina Hakka, Tarian singa masyarakat Cina Hakka adalah berbeza dengan tarian masyarakat Cina lain seperti suku Hokkien dan lain-lain. Dalam hal ini, tarian masyarakat Cina Hakka yang paling mashyur dikenali sebagai 'Ki Ling' yang mana bentuk singanya adalah lebih kecil berbanding dengan tarian singa masyarakat Cina yang lain. Selain itu, tarian singa "unicorn" juga merupakan tarian yang popular bagi kaum ini iaitu singa yang dikatakan hanya mempunyai satu tanduk. Pada kebiasaannya, tarian ini akan didendangkan atau dimainkan bilamana adanya upacara-upacara khas. Sebagai contoh, ialah ketika menyambut perayaan tahun baru Cina, upacara parkahwinan, pembukaan atau perasmian sebuah premis perniagaan dan sebagainya.

2) Tarian Kipas Cina

Tarian ini pula merupakan satu jenis tarian yang memerlukan 9 orang ahli, di mana 7 wanita dan 2 lelaki. Jenis tarian ini menunjukkan bahawa kipas cina mempunyai erti yang sebati dalam masyarakat cina di mana dewa-dewi pada masa lalu sentiasa menjadikan kipas sebagai alat keperluan. Tarian ini juga sebagai simbolik kerana angin juga merupakan elemen penting dalam masyarakat cina yang mempercayai “ Fung shui” iaitu suatu kepercayaan masayarakat cina umumnya tentang suatu pentanda yang baik dan buruk terhadap sesuatu kehidupan di tempat mereka. Oleh itu, jenis tarian ini dimainkan supaya tarian ini boleh membawa kebaikan atau “Fung Shui” yang baik kepada seluruh anggota masyarakat.

3.2.2 CONTOH-CONTOH ALAT MUZIK

Alat muzik tradisional China ialah seruling buluh kerana buluh banyak di negara China. Kedatangan orang Mongol membawa satu lagi alat muzik iaitu ‘hu-Chin’ atau kecapi Mongol yang dmainkan secara menggesek (seperti menggesek biola).Dinasti Yuan telah memberi satu sumbangan kepada perkembangan muzik China iaitu sumbangan irama lagu yang baru dengan gabungan lagu dan kecapi.

3.3 PENGARUH DARI TAMADUN INDIA

Muzik di India terbahagi kepada dua iaitu tradisi muzik Hindustan di utara dan tradisi muzik Karnatak di selatan. Ramai ahli muzik yang terkenal seperti Tan Sen, Nayak Baiju, Ram Das Raj Bahadur (raja dari Malwa) dan Tantarang Khan.Tan Sen merupakan seorang ahli muzik istana pada masa pemerintahan Akbar. Tan Sen banyak mencipta rentak Raga yang baru seperti Miyan kee Todi, Miyan kee Malhar, Miyan kee Sarang, Darbari, Lankdhan, Sarang dan Dhulia-malhar. Terdapat ramai lagi ahli muzik istana seperti Raja Man Tanwar dari Gwalior. Beliau menghasilkan empat buah buku berkaitan dengan muzik seperti Sarvado Uday Chandrovidaya, Raga Mala, Raga Mangaree dan Nartan ataupun Nidayan. Dalam muzik India, Thata merupakan hasil yang dibunyikan dari 12 nada daripada Octava iaitu gabungan mana-mana dari tujuh nada Octava.


3.3.1 CONTOH-CONTOH TARIAN

1)Tarian Bharata Natyam


Tarian ini merupakan salah satu gaya tarian klassik India. Tarian klassik Bharata Natyam merupakan salah satu tarian yang penuh dengan tradisi, yang mana untuk menguasainya perlu mengambil masa bertahun-tahun kerana terdapat pelbagai gerakan tangan, kaki dan mata yang harus dipelajari demi untuk mempersembahkan tarian warisan lama yang dihormati ini secara lengkap, penuh dengan kegemilangan.Tarian ini berasal daripada wilayah Tamil Naidu di bahagian Selatan India. Secara tradisionalnya, tarian ini di persembahkan secara solo oleh seorang penari wanita.Suatu persembahan yang lengkap dalam tarian ini merangkumi enam peringkat di kenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan Nritya ( Tarian Ekspressi ).

2) Tarian Kathak

Tarian Khatak ini merupakan salah satu lagi tarian klasikal India. Perkataan Kathak berasal dari perkataan India Katha yang bermaksud 'seni bercerita'. Dari sifat asalnya yang merupakan ekspresi menghambakan diri kepada tuhan-tuhan Hindu, Kathak berkembang ke istana-istana pemerintah.

3.3.2 CONTOH-CONTOH ALAT MUZIK

  1. Tata Jati (alat muzik bertali)
  2. Vitata Jati (alat muzik bertali)
  3. Sushir Jati(alat tiupan)
  4. Ghana Jati (alat muzik genderang

Alat muzik purba India ialah drum dan gong. Alat muzik tersebut di kenali sebagai genderang , mridangan di Selatan India yang dikatakan tidak berapa berkembang. Mridangan boleh menghasilkan pelbagai jenis bunyi. Di sebelah utara, tabla dan dua buah drum diambil daripada tabla Arab yang merupakan alat muzik yang terpenting kepada muzik India hari ini. Alat muzik bertali seperti biola, petikan gitar sejenis pancang ( sebatang kayu atau tembaga yang digunakan untuk tunjuk pada hujung yang ditolak ke dalam).

Secara keseluruhannya, dapatlah dirumuskan bahawa seni tarian masyarakat Cina dan Melayu adalah terdiri daripada beberapa jenis dan juga turut mempunyai keunikan seninya yang tersendiri yang berlainan antara satu dengan yang lain. Walaupun demikian, matlamat sebenarnya adalah satu iaitu untuk menghiburkan ataupun sebagai bahan hiburan dari dahulu hinggalah ke pada hari ini. Oleh itu, adalah diharapkan tarian dua masyarakat yang berlainan ini akan berkekalan hinggalah ke generasi yang seterusnya.

No comments:

Post a Comment